Powered by Blogger.

Sunday 7 August 2011

Sanggup gadai maruah Islam

PUTRAJAYA 7 Ogos – Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dikecam kerana sanggup menggadaikan maruah agama Islam demi kepentingan politik dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Damansara Utama baru-baru ini.
Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berdolak-dalik mengenai isu itu mencerminkan sikap sebenar pemimpin itu terhadap tanggungjawabnya menjaga kepentingan ummah.
Beliau berkata, dalam isu tersebut Abdul Khalid sepatutnya menjaga maruah agama Islam dan bukannya mengecam JAIS yang membuat pemeriksaan.
“Kita lihat motif sebenar Abdul Khalid berbuat demikian hanya untuk menjaga hati pemimpin bukan Islam yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri Selangor.
“Kerana kepentingan politik dan jawatan, beliau sanggup menggadaikan maruah agama selain turut mengarahkan semua Exco Selangor menutup mulut daripada memberi sebarang kenyataan berhubung isu tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai isu pemeriksaan JAIS ke atas sebuah gereja Methodist yang dikatakan menjalankan kegiatan menyebarkan agama lain terhadap orang Islam di Damansara Utama baru-baru ini.
Menurut Mohd. Jurit, GNM menyokong penuh tindakan JAIS kerana jabatan itu menjalankan tugas yang diamanahkan demi menjaga kepentingan agama Islam.
Sementara itu Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Malaysia, Jamaludin Yusof menggesa Abdul Khalid berundur daripada jawatannya jika tidak mampu mempertahankan kesucian Islam akibat tekanan segelintir Exco yang berkepentingan di Selangor.
Katanya, ini bagi memastikan para penganut Islam di negeri itu tidak terdedah dengan risiko murtad akibat pujuk rayu gereja dan dakyah sesetengah pihak berkepentingan.
Katanya, Pekida memandang serius perkembangan itu kerana kesucian Islam dan para penganutnya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Abdul Khalid perlu bertanggungjawab dalam isu kesucian Islam dan penganutnya serta berundur jika tidak mampu lagi memeliharanya.
“Pekida sentiasa menghormati para penganut agama lain tetapi janganlah pula mereka mengambil kesempatan memurtadkan umat Islam kerana ia salah dari sisi undang-undang,” tegasnya.
Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula kecewa dengan tindakan Abdul Khalid yang seperti memihak kepada pihak gereja berkenaan walaupun belum meneliti laporan lengkap JAIS.
Katanya, Abdul Khalid sepatutnya bersikap telus dengan meneliti laporan kedua-dua pihak terlebih dahulu iaitu JAIS dan gereja berkenaan sebelum menyatakan rasa kekesalan.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP