Powered by Blogger.

Monday 11 July 2011

Nallakaruppan: Melayu tidak sedar ditipu Anwar

KUALA LUMPUR 11 Julai - Masyarakat Melayu diminta menilai semula 'keuntungan' yang diperolehi hasil daripada kesanggupan segelintir mereka yang sanggup menjadi boneka kepada Datuk S. Ambiga dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyertai perhimpunan haram Bersih.
Bekas rakan karib Anwar, Datuk S. Nallakaruppan berkata, penilaian itu perlu dibuat memandangkan 'hidup mati' sesebuah negara ditentukan oleh perpaduan serta kebajikan kaum majoriti di negara tersebut.
Katanya, orang Melayu perlu bertanya sama ada perhimpunan tersebut telah berjaya membawa kekuatan kepada mereka atau hanya memburukkan lagi perpecahan sedia ada.
"Walaupun saya bukan Melayu, tetapi saya sayang negara ini. Saya sedar bahawa kemajuan dan keamanan sesebuah negara bergantung kepada keadaan kaum majoriti di negara tersebut.
"Tetapi lihat kelmarin di mana majoriti peserta perhimpunan haram itu adalah orang Melayu. Semuanya bagai tidak sedar ditipu Anwar dalam usaha menghuru-harakan negara menjelang perbicaraan kes liwat pada 16 Julai ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Nallakaruppan menambah, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Anwar adalah petualang negara adalah amat tepat kerana Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak jemu-jemu menipu rakyat.
Buktinya, kata beliau, Anwar terus-terusan melakukan penipuan apabila pekikan reformasi lebih banyak dilaungkan peserta perhimpunan haram Bersih daripada memperjuangkan pilihan raya adil seperti didakwa.
"Dari dulu saya sudah cakap dia lebih hebat berlakon daripada P. Ramlee. Lihatlah bagaimana beliau mengenakan penyokong leher setelah kononnya tercedera pada perhimpunan tersebut. Ia taktik sama seperti dilakukannya sewaktu dipenjara dulu.
"Semua itu saya percaya hanya lakonan bersandarkan kepada video yang pernah tersebar menunjukkan beliau sihat sewaktu dalam penjara tetapi sakit teruk ketika di khalayak umum satu ketika dahulu. Anda carilah di Youtube," ujarnya.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendakwa, lakonan Anwar bukanlah sesuatu yang baru sehingga membawa gelaran 'petualang negara' kepadanya.
"Siapa yang keluar masuk hospital? Siapa yang pakai penyokong leher sejak dulu lagi? Siapa di belakang Bersih? Siapa yang huru-harakan negara?
"Dulu dituduh kita hendak meracunnya dalam penjara. Kemudian dia lari ke kedutaan Turki konon bimbang nyawanya terancam. Tidak cukup dengan itu, brek keretanya hendak disabotaj dan anaknya, Nurul Izzah pula dikatakan hendak diculik.
"Semua ini bukan sesuatu yang baru. Apa pun saya yakin kebenaran akan tetap menang," katanya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP